Peperangan dan Tengku Kudin Perang_Kelang

Tidak lama selepas peperangan bermula pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad telah mengkahwinkan puteri baginda, Raja Arfah, dengan Tengku Kudin yang berasal dari Kedah. Sultan Abdul Samad juga telah melantik Tengku Kudin sebagai pentadbir daerah Langat.[4] Tengku Kudin telah cuba untuk menjadi pendamai. Walau bagaimanapun, usaha Tengku Kudin ditolak oleh Raja Mahadi. Tengku Kudin tersinggung lalu memilih untuk membantu Raja Ismail, anak Raja Abdullah yang memimpin kumpulan menentang Raja Mahadi setelah Raja Abdullah meninggal dunia.[5]

Pada bulan Ogos 1869, Raja Ismail yang memimpin pasukan seramai 100 orang telah menyerang Kelang dan menawan kota di hilir Sungai Kelang. Serangan ini telah memulakan sekatan terhadap Kelang dengan bantuan Muhamad Tahir dan orang orang Batu Bara yang berlarutan sehingga 6 bulan. Tidak lama kemudian, pasukan Raja Ismail telah mendapat bantuan daripada 500 orang Kedah yang telah dibawa oleh Tengku Kudin. Bantuan ini telah memberi Raja Ismail kelebihan dan menyebabkan Raja Mahadi tewas berundur dari Kelang pada bulan Mac 1870.[6]

Pada tahun 1872, dengan bantuan bendahara Pahang, segerombolan tentera Pahang turun ke Selangor dan sekaligus, mengalahkan pihak Raja Mahadi.

Kemenangan Tengku Kudin tidak disenangi oleh keluarga diraja Selangor. Keengganan tentera Pahang untuk pulang serta tindakan orang Pahang memungut cukai sebagai pampasan atau upah perkhidmatan daripada Kelang telah memburukkan nama Tengku Kudin di mata sultan Selangor. Melihat dan memahami keadaan ini, Andrew Clarke terpaksa menghentikan rancangan British untuk mempengaruhi sultan Selangor untuk sementara.